KAYA DIRI ITU KAYA JIWA

Thursday, October 21, 2010

Tak Mampu Sendiri???

Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya oleh para sahabat,
"Apakah ciri-ciri seorang manusia yang boleh dijadikan sebagai teman yang baik? Baginda s.a.w. menjawab (dengan maksud), "Dia adalah teman yang bersama-sama membantu kita ketika mana kita mengingati Allah s.w.t. dan dia jugalah yang memberi peringatan kepada kita ketika mana kita alpa dan lalai dalam mengingati-Nya".

Sahabat bertanya lagi, "Apakah pula ciri-ciri sahabat yang tidak baik?"
Baginda s.a.w. membalas (dengan maksud), "Dia adalah teman yang bukan sahaja tidak membantu kita semasa kita mengingati Allah s.w.t. malahan dia juga tidak menegur semasa kita alpa dalam dosa dan maksiat."


‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’


Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:


* Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
* Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
* Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
* Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
* Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
* Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
* Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
* Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
* Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
* Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
* Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
* Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
* Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
* Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

* Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.

* Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

* Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah dicintai, dia dustakan.

* Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.

* Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.

Cara nak jadi sahabat yang baik-Fahamilah agama, tuntutlah ilmu untuk memperbaiki akhlak, peribadi dan amalmu, insya ALLAH akan terpancar daripada mu peribadi yang menyenangkan buat sahabatmu. Pilihlah sahabat yang baik agar kau mampu menghadapi karenah manusia dan situasi yang sukar. Sehari dengannya mampu menceriakan 1000 tahun yang sukar.

Tuesday, August 10, 2010

"TERIMA KASIH"

“Kak Zu, Zana takde kenderaan nak balik, nanti kak Zu hantar Zana balik ye.” Itulah keadaannya bila anak-anak usrahku sudah menginjak ke Tahun 2, kebanyakannya akan tinggal di rumah sewa. Dan itu satu kesukaran untukku mengumpulkan mereka semua. Kalau dulu mudah, hanya buat usrah di asrama selepas isyak. Tapi kini sukar, aku perlu fleksibel dengan masa dan tempat, memandang kebanyakkan anak usrahku yang tinggal di luar tidak mempunyai kenderaan dan menumpang kenderaan kawan serumah mereka ke kuliah. Jika usrah di luar waktu kuliah, pasti menyusahkan mereka, jika semasa senggang waktu kuliah pasti sukar menyatukan mereka kerana kebanyakannya daripada kos yang berbeza dan mempunyai jadual yang berbeza. Lepas waktu kuliah, pukul 5-6.30 petang, itu sahaja pilihan yang ada, itu pun beberapa pengorbanan perlu dilakukan, hantar anak usrahku pulang ke rumah sewa. Motosikal kepunyaan arwah ayah sememangnya banyak memudahkan urusan gerak kerja ku, mengangkut, merempit menjadi rutin harianku dan rutin kebanyakkan ahli gerakan islam di kampus-kampus. Sayangku pada motosikal ku yang ku panggil “Penyu” itu semakin bertambah hari demi hari.

Untuk sampai ke rumah anak usrahku dan rumah sewaku sememangnya perlu melalui bulatan. Adik usrahku yang sememangnya tidak pandai menunggang motosikal agak ralit melihat ku menselaraskan antara gear dan minyak. Matanya tidak henti menatap tanganku dan kakiku ketika memulas minyak dan menukar gear. Sampai di bulatan itu, kenderaan memberhentikan kenderaan membenarkan aku melaluinya, tangan ku angkat sedikit tinggi tanda terima kasih kerana kesudian mereka membenarkan aku lalu. Pelbagai reaksi yang ku lihat, ada yang tidak endah, ada yang mukanya masam, ada yang mengangguk dan ada yang tersengih, ada yang tersenyum membalas terima kasihku.

“Kak Zu, kenapa kak angkat tangan.” Tanya anak usrahku. “Tanda terima kasih.” Jawabku ringkas. “ Bukan memang sepatutnya dia berhenti, kalau dia tak bagi laluan, kalau kemalangan, dia yang kena, bukan kita, kita tak salah.” “Alhamdulilah, dia bagi kita laluan, kalau tak kita sekarang bukan atas moto tapi atas ambulan, mungkin ada di antara kenderaan tu ada yang mengejar masa, terlalu laju tapi disebabkan nampak kita, dia brek mengejut dan membahayakan, mereka tu kereta, kalau langgar kita yang naik moto ni, kereta mereka je yang rosak tapi kita boleh penyet, bersyukurlah dik.” “La syukran ala wajib (tiada ungkapan terima kasih kepada sebuah kewajipan).” Itulah ayat yang mungkin aku dapat melalui mesej sahabat seperjuanganku jika aku mengucapkan terima kasih atas kesudiaan mereka bergerak kerja dengan ku seusai apa-apa program.

“Jangankan terima kasih, blah macam tu je, dah tu muka masam berkedut 18.” Adu seorang sahabat perjuanganku yang mungkin merasakan pertolongannya tidak dihargai. “Jangan harapkan ucapan terima kasih, kita kena ikhlas.” Tukas seorang sahabatku dengan penuh semangat memberikan motivasi perjuangan. Aku diam separa mengangguk, berbelah bahagi antara mengiyakan atau menafikan. “Tapi kita juga manusia.” Kali ini bersuara antara kedengaran dengan tidak. Keduanya memandang aku pelik, terkejut, mungkin juga tak faham tentang apa yang aku ucapkan. “Maksudnya?” Tanya yang bersemangat tadi. “Secara syariatullah nya kena ikhlas tapi secara sunnatullahnya…….kita ahli gerakan islam, amilin, orang yang faham, budak jemaah atau apa-apa istilah, masih ber “biologi” manusia, perlu penghargaan dan dihargai. “Ah, terima kasih itu bukan daruri (mesti), hajiyyat (keperluan) kalau ianya pertolongan malah tahsiniyyat (kelebihan) kalau atas dasar pertolongan kerana kewajipan.” Aplikasi “maqasid syarie” nya cukup baik. “Lantas itu sebabnya kita tandus dengan ucapan terima kasih pada sesama kita, bila orang lain salah tak sabar mulut kita mengungkap kemarahan tetapi apabila orang berjasa, lambat, rasa tak perlu, “basic affair”, ah, takpelah, tak istimewa pun nak ucap terima kasih.” Kali ini bersuara dengan nada sedikit tinggi. “Aku biasa je kalau orang tak ucap terima kasih.” Dia membalas hujah ku. “Memilih untuk berasa biasa atau merasa gembira atau merasa bahagia, kita suka memilih untuk berada di tahap perasaan yang minimum, berbanding optimum apatah lagi maksimum atau ia dikenali dengan sindrom “Kira ok lah tu, itu pun mujur, nasib baik kalau tak, kalau buat perangai macam tu dalam berumahtangga, alamatnya…….” Jawabku separa kedengaran. Mereka memandangku, kali ini dengan kepelikan yang amat mendalam. “Apa zu cakap tadi??” “Tak maksud zu kalau buat perangai macam tu dalam organisasi, alamatnya bercakaran sokmo lah kita.” Jawabku sedikit berdebar kerana disergah begitu. Ye mungkin, untuk mengekalkan keceriaanku dan tersengih di dewan kuliah di pagi hari, sakat menyakat orang rumah ku (housemate) merupakan kelaziman ku di pagi hari walaupun keseriusan gerak kerja dan akademik menghiasi. “Siapa lagi nak mewujudkan suasana yang harmonis kalau bukan kita, orang yang faham kepentingannya membentuk jiwa dan peribadi.” Aku mengakhiri kata-kata perbincangan kami.


“Kak Zu mengelamun ye, masuk simpang tu kak, jangan terlajak.” Tegur anak usrahku. Aku melihat jam, hampir maghrib. Dia bergegas mengambil barang-barangnya dalam raga motor, housematenya sudah menunggu di pintu dengan muka yang agak kelat seraya berkata “Dah maghrib baru balik.” Dia bergegas membuka pintu pagar, aku pun bersiap untuk meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba dia berpaling “Kak Zu, terima kasih.” Tiada kata yang mampu aku ucap, hanya tersenyum, sedikit excited.Dan pulang dengan……geleng kepala sambil tersengih panjang.

Friday, April 9, 2010

Kenapa meow???



“Kenapa meow?” Tanya seorang sahabat kerana pelik dengan gelaran ku sebagai meow. Aku senyap, sekadar berkata sebab zu suka cari barang hilang dengan “meow, meow, meow!” Nyaring bunyinya di BTN ku mencari spek mata ku yang hilang dek kerana ku suka bubuh merata-rata tempat. Atas meja study orang, atas mesin basuh, tepi singki, atas peti sejuk cuma di atas dapur gas je belum ku letakkan lagi.
Kali terakhir aku pulang adalah tahun baru cina yang lalu, aku terkejut melihat adikku yang semakin membesar, sudah lebih setahun dia tinggal bersama kami semenjak arwah ayahanda meninggalkan kami. Mulutnya semakin petah, kelakuannya bertambah pelik, ada-ada sahaja kadang-kadang aksi mencuit hati yang tidak kujangka. Kali ini kucingku bersalin buat kali yang kedua, perutnya yang boroi kini sudah kempis. Tanpa pengetahuan sesiapa pun, aku mengusap perut kucingku sambil berkata “Meow, baby mana? Baby?” Rupanya adikku mengintai malu di celah pintu.
Satu hari yang tidak terduga,aku memasak di dapur. Leka berperang dengan ikan masin di kuali, sayup-sayup ku dengar dari ruang tamu “Baby..Baby…Baby….” Aku mengintai di celah dapur, kelihatan adikku mengusap perut kucing sambil memanggil sedemikian malah lebih hebat lagi apabila dia meletakkan telinganya di atas perut kucing seolah-olah sedang membuat ultra-sound. Aku tergelak sendiri lalu ku angkat ikan masin goreng dari dapur.
Memang aku terkenal dengan kakak yang garang, hanya aku yang mengangkat tangan apabila adikku terlalu nakal, kekanda hanya marah sahaja, bonda hanya redha sahaja dengan kenakalannya. Betisnya menjadi tempat tibaianku, bukan sakit sangat, pukulan sekadar mendidik. Kadang-kadang bonda membela. “ Mak…” Aku menegur lembut. Ibuku faham, adab dan pantang dalam mendidik, tidak ada yang boleh membela dalam masa yang sama jika salah seorang marah. “Itulah adik, nakal sangat, kan kakak dah marah.” Ibuku cover line. Selepas dirinya menangis agak lama, aku mendampinginya, aku mendepangkan tangan tanda suruh dipeluk, dia memelukku, tu tandanya marahku sudah reda. Aku mengusap badannya sambil berkata “ Adik, tak boleh nakal-nakal, Allah tak suka, bayangkan siapa nak suka adik kalau Allah tak suka adik. Adik tak kesian arwah ayah, sedih tengok adik nakal, tak kesian tengok mak layan kerenah adik, letih pergi kebun lagi.” Dia memelukku dengan tangis yang masih bersisa. Bonda senyap tanpa sepatah kata.
Kali ni aku mendampingnya dengan lembut. “Aku tanya padanya “Adik sayang meow?” Dia mengangguk. Meow ini istimewa, kesayangan nabi. Kucing adalah binatang yang comel, setia, pandai mengubat penyakit sendiri, berdikari, bermanfaat dan tidak menyusahkan tuannya, pandai cari jalan pulang. Tengok dik, kalau kucing sakit atau luka, dia mesti keluar rumah dan mencari rumput-rumput untuk dijadikan ubat hingga sembuh, dan andai dia mati dia akan hilangkan diri hinggakan tiada sesiapa tahu kematiannya, tips untuk membuang kucing pulak kena bubuh dalam guni, kalau tidak dia tahu jalan balik. Andai kita berbuat baik pada dia, beri tempat tinggal dan makan, dia akan setia dan menceriakan rumah dengan keletahnya hingga ke akhir hayatnya. Istimewakan kucing, andai kita terluka tetapi menyebabkan kelukaan orang lain, tidak pandai mengubat diri, membalas tuba orang yang berjasa pada kita, tidak berusaha mencari jalan pulang bagi setiap penyelewangan yang kita lakukan, kita lebih teruk daripada kucing. Aduhai sahabat, jangan kau kurung kucing itu, kerana kau menyakitkan dirinya kerana dia tidak dapat mencari ubatnya. Wahai sahabat-sahabat, ujian bagi seekor kucing adalah satu momentum yang menggerakkan mencari ubat. Begitu juga kita, kesakitan itu menambah keimunan kerana secara fitrahnya kita memang tahu apa ubatnya. Ubat bila keresahan Al-Quran, ubat serabut jiwa dampingi ulama’, ubat tersalah mohonlah maaf, ubat kesombongan rendahkan jiwa. Seekor kucing mungkin kau menyangka dengan menyuntik segala jenis antibiotic akan menambahkan keimunannya, that’s why kucing parsi lembap, ubat pun nak bergantung dengan suntikan. Kucing biasa tahu mencari ubatnya, sakit itu bertambah menggerakkannya untuk mencari ubat dan dengan bergerak dia mendapat pelbagai pengalaman yang berguna sebagai bekal perjalanan dan andai sakit lagi di masa akan datang.
Belajarlah, walau dari seekor Meow.