KAYA DIRI ITU KAYA JIWA

Tuesday, August 10, 2010

"TERIMA KASIH"

“Kak Zu, Zana takde kenderaan nak balik, nanti kak Zu hantar Zana balik ye.” Itulah keadaannya bila anak-anak usrahku sudah menginjak ke Tahun 2, kebanyakannya akan tinggal di rumah sewa. Dan itu satu kesukaran untukku mengumpulkan mereka semua. Kalau dulu mudah, hanya buat usrah di asrama selepas isyak. Tapi kini sukar, aku perlu fleksibel dengan masa dan tempat, memandang kebanyakkan anak usrahku yang tinggal di luar tidak mempunyai kenderaan dan menumpang kenderaan kawan serumah mereka ke kuliah. Jika usrah di luar waktu kuliah, pasti menyusahkan mereka, jika semasa senggang waktu kuliah pasti sukar menyatukan mereka kerana kebanyakannya daripada kos yang berbeza dan mempunyai jadual yang berbeza. Lepas waktu kuliah, pukul 5-6.30 petang, itu sahaja pilihan yang ada, itu pun beberapa pengorbanan perlu dilakukan, hantar anak usrahku pulang ke rumah sewa. Motosikal kepunyaan arwah ayah sememangnya banyak memudahkan urusan gerak kerja ku, mengangkut, merempit menjadi rutin harianku dan rutin kebanyakkan ahli gerakan islam di kampus-kampus. Sayangku pada motosikal ku yang ku panggil “Penyu” itu semakin bertambah hari demi hari.

Untuk sampai ke rumah anak usrahku dan rumah sewaku sememangnya perlu melalui bulatan. Adik usrahku yang sememangnya tidak pandai menunggang motosikal agak ralit melihat ku menselaraskan antara gear dan minyak. Matanya tidak henti menatap tanganku dan kakiku ketika memulas minyak dan menukar gear. Sampai di bulatan itu, kenderaan memberhentikan kenderaan membenarkan aku melaluinya, tangan ku angkat sedikit tinggi tanda terima kasih kerana kesudian mereka membenarkan aku lalu. Pelbagai reaksi yang ku lihat, ada yang tidak endah, ada yang mukanya masam, ada yang mengangguk dan ada yang tersengih, ada yang tersenyum membalas terima kasihku.

“Kak Zu, kenapa kak angkat tangan.” Tanya anak usrahku. “Tanda terima kasih.” Jawabku ringkas. “ Bukan memang sepatutnya dia berhenti, kalau dia tak bagi laluan, kalau kemalangan, dia yang kena, bukan kita, kita tak salah.” “Alhamdulilah, dia bagi kita laluan, kalau tak kita sekarang bukan atas moto tapi atas ambulan, mungkin ada di antara kenderaan tu ada yang mengejar masa, terlalu laju tapi disebabkan nampak kita, dia brek mengejut dan membahayakan, mereka tu kereta, kalau langgar kita yang naik moto ni, kereta mereka je yang rosak tapi kita boleh penyet, bersyukurlah dik.” “La syukran ala wajib (tiada ungkapan terima kasih kepada sebuah kewajipan).” Itulah ayat yang mungkin aku dapat melalui mesej sahabat seperjuanganku jika aku mengucapkan terima kasih atas kesudiaan mereka bergerak kerja dengan ku seusai apa-apa program.

“Jangankan terima kasih, blah macam tu je, dah tu muka masam berkedut 18.” Adu seorang sahabat perjuanganku yang mungkin merasakan pertolongannya tidak dihargai. “Jangan harapkan ucapan terima kasih, kita kena ikhlas.” Tukas seorang sahabatku dengan penuh semangat memberikan motivasi perjuangan. Aku diam separa mengangguk, berbelah bahagi antara mengiyakan atau menafikan. “Tapi kita juga manusia.” Kali ini bersuara antara kedengaran dengan tidak. Keduanya memandang aku pelik, terkejut, mungkin juga tak faham tentang apa yang aku ucapkan. “Maksudnya?” Tanya yang bersemangat tadi. “Secara syariatullah nya kena ikhlas tapi secara sunnatullahnya…….kita ahli gerakan islam, amilin, orang yang faham, budak jemaah atau apa-apa istilah, masih ber “biologi” manusia, perlu penghargaan dan dihargai. “Ah, terima kasih itu bukan daruri (mesti), hajiyyat (keperluan) kalau ianya pertolongan malah tahsiniyyat (kelebihan) kalau atas dasar pertolongan kerana kewajipan.” Aplikasi “maqasid syarie” nya cukup baik. “Lantas itu sebabnya kita tandus dengan ucapan terima kasih pada sesama kita, bila orang lain salah tak sabar mulut kita mengungkap kemarahan tetapi apabila orang berjasa, lambat, rasa tak perlu, “basic affair”, ah, takpelah, tak istimewa pun nak ucap terima kasih.” Kali ini bersuara dengan nada sedikit tinggi. “Aku biasa je kalau orang tak ucap terima kasih.” Dia membalas hujah ku. “Memilih untuk berasa biasa atau merasa gembira atau merasa bahagia, kita suka memilih untuk berada di tahap perasaan yang minimum, berbanding optimum apatah lagi maksimum atau ia dikenali dengan sindrom “Kira ok lah tu, itu pun mujur, nasib baik kalau tak, kalau buat perangai macam tu dalam berumahtangga, alamatnya…….” Jawabku separa kedengaran. Mereka memandangku, kali ini dengan kepelikan yang amat mendalam. “Apa zu cakap tadi??” “Tak maksud zu kalau buat perangai macam tu dalam organisasi, alamatnya bercakaran sokmo lah kita.” Jawabku sedikit berdebar kerana disergah begitu. Ye mungkin, untuk mengekalkan keceriaanku dan tersengih di dewan kuliah di pagi hari, sakat menyakat orang rumah ku (housemate) merupakan kelaziman ku di pagi hari walaupun keseriusan gerak kerja dan akademik menghiasi. “Siapa lagi nak mewujudkan suasana yang harmonis kalau bukan kita, orang yang faham kepentingannya membentuk jiwa dan peribadi.” Aku mengakhiri kata-kata perbincangan kami.


“Kak Zu mengelamun ye, masuk simpang tu kak, jangan terlajak.” Tegur anak usrahku. Aku melihat jam, hampir maghrib. Dia bergegas mengambil barang-barangnya dalam raga motor, housematenya sudah menunggu di pintu dengan muka yang agak kelat seraya berkata “Dah maghrib baru balik.” Dia bergegas membuka pintu pagar, aku pun bersiap untuk meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba dia berpaling “Kak Zu, terima kasih.” Tiada kata yang mampu aku ucap, hanya tersenyum, sedikit excited.Dan pulang dengan……geleng kepala sambil tersengih panjang.

No comments:

Post a Comment