KAYA DIRI ITU KAYA JIWA

Thursday, October 21, 2010

Tak Mampu Sendiri???

Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya oleh para sahabat,
"Apakah ciri-ciri seorang manusia yang boleh dijadikan sebagai teman yang baik? Baginda s.a.w. menjawab (dengan maksud), "Dia adalah teman yang bersama-sama membantu kita ketika mana kita mengingati Allah s.w.t. dan dia jugalah yang memberi peringatan kepada kita ketika mana kita alpa dan lalai dalam mengingati-Nya".

Sahabat bertanya lagi, "Apakah pula ciri-ciri sahabat yang tidak baik?"
Baginda s.a.w. membalas (dengan maksud), "Dia adalah teman yang bukan sahaja tidak membantu kita semasa kita mengingati Allah s.w.t. malahan dia juga tidak menegur semasa kita alpa dalam dosa dan maksiat."


‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’


Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:


* Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
* Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
* Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
* Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
* Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
* Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
* Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
* Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
* Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
* Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
* Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
* Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
* Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
* Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

* Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.

* Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

* Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah dicintai, dia dustakan.

* Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.

* Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.

Cara nak jadi sahabat yang baik-Fahamilah agama, tuntutlah ilmu untuk memperbaiki akhlak, peribadi dan amalmu, insya ALLAH akan terpancar daripada mu peribadi yang menyenangkan buat sahabatmu. Pilihlah sahabat yang baik agar kau mampu menghadapi karenah manusia dan situasi yang sukar. Sehari dengannya mampu menceriakan 1000 tahun yang sukar.

Tuesday, August 10, 2010

"TERIMA KASIH"

“Kak Zu, Zana takde kenderaan nak balik, nanti kak Zu hantar Zana balik ye.” Itulah keadaannya bila anak-anak usrahku sudah menginjak ke Tahun 2, kebanyakannya akan tinggal di rumah sewa. Dan itu satu kesukaran untukku mengumpulkan mereka semua. Kalau dulu mudah, hanya buat usrah di asrama selepas isyak. Tapi kini sukar, aku perlu fleksibel dengan masa dan tempat, memandang kebanyakkan anak usrahku yang tinggal di luar tidak mempunyai kenderaan dan menumpang kenderaan kawan serumah mereka ke kuliah. Jika usrah di luar waktu kuliah, pasti menyusahkan mereka, jika semasa senggang waktu kuliah pasti sukar menyatukan mereka kerana kebanyakannya daripada kos yang berbeza dan mempunyai jadual yang berbeza. Lepas waktu kuliah, pukul 5-6.30 petang, itu sahaja pilihan yang ada, itu pun beberapa pengorbanan perlu dilakukan, hantar anak usrahku pulang ke rumah sewa. Motosikal kepunyaan arwah ayah sememangnya banyak memudahkan urusan gerak kerja ku, mengangkut, merempit menjadi rutin harianku dan rutin kebanyakkan ahli gerakan islam di kampus-kampus. Sayangku pada motosikal ku yang ku panggil “Penyu” itu semakin bertambah hari demi hari.

Untuk sampai ke rumah anak usrahku dan rumah sewaku sememangnya perlu melalui bulatan. Adik usrahku yang sememangnya tidak pandai menunggang motosikal agak ralit melihat ku menselaraskan antara gear dan minyak. Matanya tidak henti menatap tanganku dan kakiku ketika memulas minyak dan menukar gear. Sampai di bulatan itu, kenderaan memberhentikan kenderaan membenarkan aku melaluinya, tangan ku angkat sedikit tinggi tanda terima kasih kerana kesudian mereka membenarkan aku lalu. Pelbagai reaksi yang ku lihat, ada yang tidak endah, ada yang mukanya masam, ada yang mengangguk dan ada yang tersengih, ada yang tersenyum membalas terima kasihku.

“Kak Zu, kenapa kak angkat tangan.” Tanya anak usrahku. “Tanda terima kasih.” Jawabku ringkas. “ Bukan memang sepatutnya dia berhenti, kalau dia tak bagi laluan, kalau kemalangan, dia yang kena, bukan kita, kita tak salah.” “Alhamdulilah, dia bagi kita laluan, kalau tak kita sekarang bukan atas moto tapi atas ambulan, mungkin ada di antara kenderaan tu ada yang mengejar masa, terlalu laju tapi disebabkan nampak kita, dia brek mengejut dan membahayakan, mereka tu kereta, kalau langgar kita yang naik moto ni, kereta mereka je yang rosak tapi kita boleh penyet, bersyukurlah dik.” “La syukran ala wajib (tiada ungkapan terima kasih kepada sebuah kewajipan).” Itulah ayat yang mungkin aku dapat melalui mesej sahabat seperjuanganku jika aku mengucapkan terima kasih atas kesudiaan mereka bergerak kerja dengan ku seusai apa-apa program.

“Jangankan terima kasih, blah macam tu je, dah tu muka masam berkedut 18.” Adu seorang sahabat perjuanganku yang mungkin merasakan pertolongannya tidak dihargai. “Jangan harapkan ucapan terima kasih, kita kena ikhlas.” Tukas seorang sahabatku dengan penuh semangat memberikan motivasi perjuangan. Aku diam separa mengangguk, berbelah bahagi antara mengiyakan atau menafikan. “Tapi kita juga manusia.” Kali ini bersuara antara kedengaran dengan tidak. Keduanya memandang aku pelik, terkejut, mungkin juga tak faham tentang apa yang aku ucapkan. “Maksudnya?” Tanya yang bersemangat tadi. “Secara syariatullah nya kena ikhlas tapi secara sunnatullahnya…….kita ahli gerakan islam, amilin, orang yang faham, budak jemaah atau apa-apa istilah, masih ber “biologi” manusia, perlu penghargaan dan dihargai. “Ah, terima kasih itu bukan daruri (mesti), hajiyyat (keperluan) kalau ianya pertolongan malah tahsiniyyat (kelebihan) kalau atas dasar pertolongan kerana kewajipan.” Aplikasi “maqasid syarie” nya cukup baik. “Lantas itu sebabnya kita tandus dengan ucapan terima kasih pada sesama kita, bila orang lain salah tak sabar mulut kita mengungkap kemarahan tetapi apabila orang berjasa, lambat, rasa tak perlu, “basic affair”, ah, takpelah, tak istimewa pun nak ucap terima kasih.” Kali ini bersuara dengan nada sedikit tinggi. “Aku biasa je kalau orang tak ucap terima kasih.” Dia membalas hujah ku. “Memilih untuk berasa biasa atau merasa gembira atau merasa bahagia, kita suka memilih untuk berada di tahap perasaan yang minimum, berbanding optimum apatah lagi maksimum atau ia dikenali dengan sindrom “Kira ok lah tu, itu pun mujur, nasib baik kalau tak, kalau buat perangai macam tu dalam berumahtangga, alamatnya…….” Jawabku separa kedengaran. Mereka memandangku, kali ini dengan kepelikan yang amat mendalam. “Apa zu cakap tadi??” “Tak maksud zu kalau buat perangai macam tu dalam organisasi, alamatnya bercakaran sokmo lah kita.” Jawabku sedikit berdebar kerana disergah begitu. Ye mungkin, untuk mengekalkan keceriaanku dan tersengih di dewan kuliah di pagi hari, sakat menyakat orang rumah ku (housemate) merupakan kelaziman ku di pagi hari walaupun keseriusan gerak kerja dan akademik menghiasi. “Siapa lagi nak mewujudkan suasana yang harmonis kalau bukan kita, orang yang faham kepentingannya membentuk jiwa dan peribadi.” Aku mengakhiri kata-kata perbincangan kami.


“Kak Zu mengelamun ye, masuk simpang tu kak, jangan terlajak.” Tegur anak usrahku. Aku melihat jam, hampir maghrib. Dia bergegas mengambil barang-barangnya dalam raga motor, housematenya sudah menunggu di pintu dengan muka yang agak kelat seraya berkata “Dah maghrib baru balik.” Dia bergegas membuka pintu pagar, aku pun bersiap untuk meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba dia berpaling “Kak Zu, terima kasih.” Tiada kata yang mampu aku ucap, hanya tersenyum, sedikit excited.Dan pulang dengan……geleng kepala sambil tersengih panjang.

Friday, April 9, 2010

Kenapa meow???



“Kenapa meow?” Tanya seorang sahabat kerana pelik dengan gelaran ku sebagai meow. Aku senyap, sekadar berkata sebab zu suka cari barang hilang dengan “meow, meow, meow!” Nyaring bunyinya di BTN ku mencari spek mata ku yang hilang dek kerana ku suka bubuh merata-rata tempat. Atas meja study orang, atas mesin basuh, tepi singki, atas peti sejuk cuma di atas dapur gas je belum ku letakkan lagi.
Kali terakhir aku pulang adalah tahun baru cina yang lalu, aku terkejut melihat adikku yang semakin membesar, sudah lebih setahun dia tinggal bersama kami semenjak arwah ayahanda meninggalkan kami. Mulutnya semakin petah, kelakuannya bertambah pelik, ada-ada sahaja kadang-kadang aksi mencuit hati yang tidak kujangka. Kali ini kucingku bersalin buat kali yang kedua, perutnya yang boroi kini sudah kempis. Tanpa pengetahuan sesiapa pun, aku mengusap perut kucingku sambil berkata “Meow, baby mana? Baby?” Rupanya adikku mengintai malu di celah pintu.
Satu hari yang tidak terduga,aku memasak di dapur. Leka berperang dengan ikan masin di kuali, sayup-sayup ku dengar dari ruang tamu “Baby..Baby…Baby….” Aku mengintai di celah dapur, kelihatan adikku mengusap perut kucing sambil memanggil sedemikian malah lebih hebat lagi apabila dia meletakkan telinganya di atas perut kucing seolah-olah sedang membuat ultra-sound. Aku tergelak sendiri lalu ku angkat ikan masin goreng dari dapur.
Memang aku terkenal dengan kakak yang garang, hanya aku yang mengangkat tangan apabila adikku terlalu nakal, kekanda hanya marah sahaja, bonda hanya redha sahaja dengan kenakalannya. Betisnya menjadi tempat tibaianku, bukan sakit sangat, pukulan sekadar mendidik. Kadang-kadang bonda membela. “ Mak…” Aku menegur lembut. Ibuku faham, adab dan pantang dalam mendidik, tidak ada yang boleh membela dalam masa yang sama jika salah seorang marah. “Itulah adik, nakal sangat, kan kakak dah marah.” Ibuku cover line. Selepas dirinya menangis agak lama, aku mendampinginya, aku mendepangkan tangan tanda suruh dipeluk, dia memelukku, tu tandanya marahku sudah reda. Aku mengusap badannya sambil berkata “ Adik, tak boleh nakal-nakal, Allah tak suka, bayangkan siapa nak suka adik kalau Allah tak suka adik. Adik tak kesian arwah ayah, sedih tengok adik nakal, tak kesian tengok mak layan kerenah adik, letih pergi kebun lagi.” Dia memelukku dengan tangis yang masih bersisa. Bonda senyap tanpa sepatah kata.
Kali ni aku mendampingnya dengan lembut. “Aku tanya padanya “Adik sayang meow?” Dia mengangguk. Meow ini istimewa, kesayangan nabi. Kucing adalah binatang yang comel, setia, pandai mengubat penyakit sendiri, berdikari, bermanfaat dan tidak menyusahkan tuannya, pandai cari jalan pulang. Tengok dik, kalau kucing sakit atau luka, dia mesti keluar rumah dan mencari rumput-rumput untuk dijadikan ubat hingga sembuh, dan andai dia mati dia akan hilangkan diri hinggakan tiada sesiapa tahu kematiannya, tips untuk membuang kucing pulak kena bubuh dalam guni, kalau tidak dia tahu jalan balik. Andai kita berbuat baik pada dia, beri tempat tinggal dan makan, dia akan setia dan menceriakan rumah dengan keletahnya hingga ke akhir hayatnya. Istimewakan kucing, andai kita terluka tetapi menyebabkan kelukaan orang lain, tidak pandai mengubat diri, membalas tuba orang yang berjasa pada kita, tidak berusaha mencari jalan pulang bagi setiap penyelewangan yang kita lakukan, kita lebih teruk daripada kucing. Aduhai sahabat, jangan kau kurung kucing itu, kerana kau menyakitkan dirinya kerana dia tidak dapat mencari ubatnya. Wahai sahabat-sahabat, ujian bagi seekor kucing adalah satu momentum yang menggerakkan mencari ubat. Begitu juga kita, kesakitan itu menambah keimunan kerana secara fitrahnya kita memang tahu apa ubatnya. Ubat bila keresahan Al-Quran, ubat serabut jiwa dampingi ulama’, ubat tersalah mohonlah maaf, ubat kesombongan rendahkan jiwa. Seekor kucing mungkin kau menyangka dengan menyuntik segala jenis antibiotic akan menambahkan keimunannya, that’s why kucing parsi lembap, ubat pun nak bergantung dengan suntikan. Kucing biasa tahu mencari ubatnya, sakit itu bertambah menggerakkannya untuk mencari ubat dan dengan bergerak dia mendapat pelbagai pengalaman yang berguna sebagai bekal perjalanan dan andai sakit lagi di masa akan datang.
Belajarlah, walau dari seekor Meow.




Tuesday, August 25, 2009

Kader itu menjadi sumber pintu bagi berjuta ilmu, satu jiwa berjuta hikmah, satu peribadi penuh inspirasi bg seorang murabbi happy full prestasi dasyat full manfaat. Engkaukah ???

SATU JIWA BERJUTA HIKMAH

Suatu pagi di Masjidil Haram. Ibnu Abbas duduk memanggil orang2 " Masuklah wahai para ulama al-quran!" Berbondong- bondong mereka masuk, bertanya kpd pakarnya, dan kembali dgn rasa puas hati.

Berikutnya, Ibnu Abbas berkata, " Silakan wahai para ulama tafsir!" Berduyun-duyun para penggali ilmu tafsir masuk ke majlis tafsir Ibnu Abbas.Situasinya sama, mereka bertanya dan pulang dgn senang hati.
Seterusnya ahli hadits dan para ulama ahli bahasa,dan ulama ahli syair.
Satu pintu berjuta ilmu. Satu orang ahli semua bidang..

Begitulah Ibnu Abbas sebgai ulama disiang hari dan abid di malam hari.
Bila selepas isyak, qiamullail ditegakkan, malam-malam hingga ke fajar diisi dgn mgulang bacaan al-quran seraya menucur air mata.

Kita akan belajar bersama Ibnu Ababs untuk menjadi peribadi dahsyat full manfaat.. Satu individu berjuta ilmu.Seorang murabbi bg ribuan bahkan jutaan mutarabbi. Seorg ustaz samudera ilmu bg umat, habrul ummah, begitu julukan Nabi pd Ibnu Abbas.

Tuesday, April 21, 2009

AKU, DIA, BIRTHDAY DAN BOWLING

AKU, DIA, BIRTHDAY DAN BOWLING

“Usrah? Jom jom, excitednya.” “Apa? Kompleks sukan ! Main boling? Biar betul?” Apa yg anda terfikir tentang usrah, tepi pantai, buka dengan al-Fatihah dan diakhiri dengan tasbih kifarah. Mcm tu ke, cara lain takde ke? Mcm-mcm bermain di minda ana apabila kakak senior tercinta mengajak ana berusrah, menyambut befday……dan main boling.
Dalam kepala bermain bermacam –macam benda sewaktu ana dalam perjalanan ke sana. Merancang untuk tidak bermain boling bersama mrk, hmm…tak syarie. Biarlah sekadar melihat mrk bermain tetapi tidak menyertai pun takpe kan. Terbayang dgn tempat boling, penuh dgn lelaki dan wanita bercampur tanpa batas, terjerit-jerit dan bersorak-sorai bila berjaya mendapatkan strike. Hmm…Ana melangkah dan menjerumuskan diri ke tempat maksiat ke ni?
Sesampai sahaja di sana, ana dipaksa bermain juga. Hmm…takpelah nak menjaga hati kekanda dan sahabat tercinta. Ku korbankan prinsip, kalau mad’u @ anak usrah ana tengok ni confirm tak thiqoh. Tujuh org muslimat kesemuanya, semuanya berjilbab labuh, kami buka dua lane, RM7 seorang termasuk sewa kasut sukan. Pastinya team kami menjadi golongan ghuraba’ di situ, pelik mungkin sebab mungkin mereka terfikir muslimat berjilbab labuh seperti kami tersilap tempat, main boling pulak tu.
Cubaan pertama, masuk longkang, kedua begitu juga….Namun perlahan-perlahan 5-8 jatuhan pin setiap golekan. Seronok pulak, kekanda dan sahabat tercinta tak henti-henti memberikan semangat walaupun bola ana masuk longkang malah mengajar ana cara golekan yang betul dan cara memilih bola yg serasi dgn diri kita. “Bagus, bagus, cuba lagi…Akak first time main pun mcm tu juga adikku.”
Akhirnya tepukan di bahu merungkai segalanya. “Adikku, muslimat boleh buat apa sahaja, main boling, bola dan apa sahaja selagi menepati syariat, aurat terjaga, menjaga pandangan, suara, akhlak dan batas pergaulan. Kita bukan sekadar main boling, lihat mereka di sebelah kita semua memandang kita, ini dakwah kita pada mereka. Jangan biarkan mereka skeptical pada kita bahawa muslimat seperti kita hanya sekadar memandang serong, menghukum tetapi tidak memberi altenatif pada mereka. Jangan biarkan mereka berkata orang yg melaksanakan ajaran agama seperti kita berfikiran sempit, terkongkong dan rigid. Adikku ambil lah ibrah dari permainan ini. Akak tak nak adik sekadar berteori dengan ilmu haraki tetapi menolak untuk terjun kepada praktikal.” Belajarlah dari permainan boling:
• Matlamat kita tinggi iaitu strike, orang yg target sekadar 1-3 jatuhan pin itu tidak normal. So, matlamat kita yg membawa agama ini mesti tinggi iaitu yakin menang, bukan sekadar melaksana kerja-kerja islam di peringkat kampus sahaja
• Kadang-kadang balingan yg di tepi boleh juga pergi ke tengah pada saat akhir dan mencapai strike, dan kadang-kadang balingan yg bermula di tengah lane juga boleh pergi ke tepi pada saat akhir dan masuk longkang. So, sape kita nak menilai manusia yg jahil kemungkinan mereka bergelar khusnul khatimah sedangkan kita yg sudah yakin banyak beramal ini kemungkinan ghurur dan bergelar suul khatimah. Namun jgn disebabkan sunnatullah begitu kita, selesa menggelek di tepi kerana risiko tinggi untuk masuk longkang. Geleklah di tengah agar insya-Allah sentiasa berada di tengah dan kalau menyeleweng pun hanya kadar yg sedikit.
• Pilih bola mengikut kemampuan kita, jangan terlalu berat dan terlalu ringan. Bola yang terlalu ringan menyebakan ia melayang dan masuk longkang. Terlalu berat menyebabkan bola tidak sempat sampai ke sasaran. Begitu juga dalam berjuang, perlu ikut marhalah, kalau kita memilih yang terlalu ringan, bimbang kita menjadi rileks, lalai dan sambil lewa. Memilih yg terlalu berat serta melebihi kefahaman yg ada menyebabkan kita menjadi down dan kadang-kadang bertindak secara ajalah (tergesa-gesa). So, ikutlah marhalah dan kemampuan dan jangan sekadar bertaklid dan belajarlah mengikut step untuk meningkatkan kemampuan diri
• Bila mendapatkan strike jangan terlalu gembira hingga merendah-rendahkan sahabat kita yg gagal. Ini berkait dengan persediaan untu menang, bila kita menang dan insya-Allah islam yu’la wala yu’la alaih, jgnlah sombong menzalimi dan membalas dendam pada musuh yg pernah menyakiti kita. “ Sedangkan nabi lagi memaafkan apatah lagi kita”. Indahkan islam…
• Bila kita membuat balingan maka bertawakal pada ALLAH sebab Allah yg menentukan hasil. Boleh juga strike, masuk longkang atau sekadar beberapa pin sahaja.Wahai penggerak amal islami, faktor sampingan iaitu usaha dan strategi kita dan faktor utama iaitu bantuan Allah. Maka bertawakallah, ingatkah lagi pada peristiwa Badar?


Terima kasih kekandaku dan sahabatku kerana mencetus momentum pemikiran yg praktikal untuk membantu pembentukan fikrah diri ini yang terlalu jahil. Sambutan befday yang terlalu istimewa bagi diriku. AL-FATIHAH buat ayahanda tercinta yg juga mempunyai tarikh lahir yg sama dgnku tetapi tidak berpeluang menyambutnya pada tahun ini. Tertanya-tanya… Adakah ini sambutan yg terakhir?
-21/04/1989 dan 21/04/1959 dalam kenangan-

Monday, April 20, 2009

Benarkah Kita Berjuang ... ?

Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?

Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah swt. tiba - tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi [ malas ]

Kenapa jadi begitu ? adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat ?

Ketahuilah ! sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu , berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt.. adalah sangat kecil nilainya disisi Allah swt .

Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan , nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih .

Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 - 39

Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita berjuang ?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri .

Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .

Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? , sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .

Benarkah kita berjuang ? , seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah - seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita . Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman . Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka - muka .

Benarkah kita berjuang ? , suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah . Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan .

Benarkah kita berjuang ? , kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka , maka kita tolak mentah - mentah . Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .

Benarkah kita berjuang ? , kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin . Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calun pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan . Soal mampu atau tidak , soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran . Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita .

Benarkah kita berjuang ? , wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita . Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non muslim . Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri . Kita orang PAS ceramah pasal PAS dalam markas PAS kepada orang PAS , habis tu bila Islam ni nak lePAS ?

Benarkah kita berjuang ? , peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan . Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati . Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam . Penampilan diri juga dinuetralkan agar tidak dianggap fundamental .

Benarkah kita berjuang ? , kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan . Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang , jauh sekali untuk rakyat yang terhimpit . Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah meluka perasaan anggota jamaah sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .

Benarkah kita berjuang ? , kadang - kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri . Kita sebut kepimpinan ulama' tetapi kita tidak beradab dengan ulama' . maki hamun ulama' dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa ..

Benarkah kita berjuang ? , kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan . jamaah kita ni gerakan Islam ke ? atau parti politik semata ? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati . Matlamat kita , dustur kita , landasan kita , ikutan kita , cita - cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita . malang , sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula .

Benarkah kita berjuang ? , banyak sungguh dosa kita . Makin berjuang makin tambah dosa . Dosa mengumpat , dosa mengutuk , dosa salah sangka , dosa mencantas , dosa memfitnah , dosa menipu , dosa tidak taat kepada pimpinan , dosa tidak tunai amanah perjuangan , dosa dedah rahsia jamaah , dosa khianat kepada sahabat seperjuangan , dosa hipokrit , dosa melukakan hati anggota jamaah , dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah , dosa mata , dosa tangan , dosa kaki , dosa telinga , dosa mulut , dosa hati , dosa otak , dosa .... , dosa .... , dosa .....dan dosa .....

Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .

hayya bina nu'min saah ! ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung [ introspection ] jauh ke dalam jiwa kita . Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri , sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri dipihak benar . Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf , jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri .

Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .

Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita berjuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .

Selamat berjuang sahabat ku !
Posted by Ustaz Nasrudin Tantawi at 11:06